Sunday, May 13, 2007

TAK SEMUDAH ITU BEB...

Alhamdulilah..

Minggu lepas penuh hidup aku dengan peperiksaan ke-2 sebelum peperiksaan akhir semester hujung bulan nih. Mula dengan hari Ahad kemudian Khamis dan seterusnya Ahad minggu depannya (tadi ler tu..) Subjek peperiksaan hari Ahad yang pertama membuatkan aku tetiba rajin untuk update blog aku nih.

Balaghah..ye, itulah subjek yang akan menguji aku Ahad nih. Kalau nak tau, balaghah nih adalah salah satu rempah yang perlu ada untuk seseorang itu menjadi mujtahid sebab ia membincangkan berkenaan kaedah bahasa arab selain Nahu dan sorof yang mesti dikuasai sebelum sampai ke martabat mujtahid. Tapi bukan itu saja, banyaklah lagi..

Aku pilih tajuk ni untuk menjadi bahan dalam artikel sebab mengenangkan kepada perkara-perkara yang menjadi perbalahan beberapa bulan yang lalu-dan masih sehingga sekarang- darihal ramainya yang nak jadi mujtahid. Sebenarnya tak salah nak jadi seorang yang berijtihad tapi biarlah ada kaedahnya. Dan antara perkara yang mesti dikuasai sebelum kita boleh berijtihad ialah penguasaan yang sepenuhnya dalam bahasa Arab sebab ramai hari ni yang aku tengok (terutama yang berforum dalam internet) cuba untuk mengistinbat hukum melalui kitab-kitab bahasa Arab yang diterjemahkan!!!

Kenapa? Tak boleh ke??


KAEDAH YANG BERBEZA

Orang arab jenis berbulu, orang melayu jenis "tak berapa banyak" bulu, orang arab hidungnya bolehlah tahan mancung, orang melayu buat-buat mancung..

Begitulah juga perbandingan di antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu. Kalau dalam bahasa Arab ada baris dan titiknya, maka bahasa Melayu ada baku dan imbuhannya. Maka secara keseluruhan mestilah ada bezanya walaupun telah diterjemah dan boleh difahami oleh kita.

Ambil satu contoh. Bagaimana kita nak terjemah dan tafsir ayat alQur'an:

وإذ قلنـا للملآئكة اسجدوا لآدم فسجــدوا إلا إبليس أبى واستكبر وكان من الكافـرين

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka pun sujud kecuali iblis mereka enggan dan jadilah mereka dari golongan yang ingkar" (alBaqarah: 34)

Sekali imbas kita boleh faham daripada terjemahan ayat tersebut tapi macam mana pula nak tafsir? Sebab Allah swt hanya menyatakan perintah kepada malaikat dengan tidak disertakan kenyataan perintah kepada iblis. Adakah ini bermaksud iblis dan malaikat adalah dari jenis yang sama? Tak ke bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Nabi saw:

"Dijadikan para malaikat daripada cahaya, dan dijadikan para jin daripada lidah api yang menjulang-julang (iblis dari jin), dan dijadikan Adam daripada apa yang disifatkan bagi kamu" (yakni tanah kerana Adam dalam bahasa Arab bermakna tanah)

Ditakhrijkan oleh Muslim dan Ahmad dalam musnadnya-
Lihat Fath alBari (6/232)

Bagi yang mempunyai alat untuk sampai kepada maksud ayat tersebut tidaklah menjadi masalah. Oleh itu, pemahaman nas alQur’an serta alHadits dalam bahasa Arab amatlah perlu dan bukan kepada terjemahan.

Bagi menjawab kemusykilan di atas, maka kita datangkan kaedah nahu untuk menyelesaikannya. Dalam ilmu nahu, ada satu bab yang dinamakan “alIstisnaa’” yang bererti pengeculian dan ayat alQur’an di atas termasuk dalam bab ini.

Di dalam alIstisnaa’ terdapat enam bahagian. Tetapi cukuplah aku huraikan dua sahaja untuk ditumpukan kepada ayat di atas. Bahagian yang pertama di panggil istisnaa’ muttasil ( pengecualian yang berkait) manakala yang kedua dipanggil istisnaa’ munqothie’ ( pengecualian yang tiada kaitan). Dalam ayat alQur’an tadi ia termasuk dalam bahagian yang kedua kerana, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits tadi, malaikat itu dijadikan daripada cahaya manakala jin atau iblis dijadikan daripada api. Maka terjawablah sudah persoalan tadi tanpa perlu menggaru kepala. Dan aku kira tak payahlah aku datangkan contoh istisnaa’ muttasil sebab ia bolehlah kita katakan sebagai lawan kepada istisnaa’ munqothie’..


Kita datangkan dengan contoh yang lain dalam bahasa Melayu untuk mudah kita fahami:

Semua pelajar datang kecuali kambing..

Ini juga bolehlah kita kategorikan (marah doktor lughah aku!) sebagai istisnaa’ munqothie kerana kambing yang dikecualikan itu tidak ada kena mengena dengan pelajar kerana kambing itu adalah binatang dan pelajar itu adalah manusia!

Bunyinya memang pelik sebab mana ada penggunaan yang begini dalam bahasa Melayu. Jadi bolehkah kita dakwa bahawa telah faham maksud daripada keseluruhan nas sama ada alQur’an dan alHadits serta kitab-kitab turath yang lain dengan berpandukan hanya kepada terjemahan?

Ini baru satu contoh serta satu kaedah daripada ribuan bahkan mungkin jutaan nas yang memerlukan kaedah yang tersendiri. Tadi hanyalah baru aku sentuh dari segi bahasa. Itu pun dalam bab nahu. Macam mana pula dengan sorof dan balaghah. Ilmu balaghah pula ada pembahagiannya yang tersendiri. Bagaimana pula dari sudut maqasid syari’ah, siasah syar’iah, feqh alWaqie, serta berpuluh-puluh lagi kaedah feqh yang perlu kepada penelitian serta perbincangan yang berat-berat. Juga Ulum alQur’an, ulum alHadits, Manaahijul Mufassirin, Takhriij alAsanid, Manaahijul Muhadditsin dan lain-lain. Adakah akan tercapai dengan hanya kita merujuk kepada terjemahan?

Apabila aku nyatakan begini bukanlah bermakna aku melarang untuk baca alQur’an, alHadits serta kitab-kitab arab lain yang dah diterjemahkan ke dalam bahasa kita. Bacalah sebanyak yang mungkin. Mudah-mudahan dapat dimanfaat dengan sebaik-baiknya. Cuma apa yang nak aku sampaikan ialah jangan kita senang-senang nak mengistinbat satu-satu hukum sekiranya kita tak punyai alat yang sesuai dan selengkapnya.

Bolehkah kita menukul paku dengan penyedut minuman? Namanya saja sudah penyedut!


SYARAT-SYARAT MUJTAHID

Sebelum seseorang itu layak digelar sebagai seorang yang mujtahid, mari kita lihat adakah kita telah memenuhi kriteria berikut:

1. Hendaklah seorang yang muslim.

2. Hendaklah seorang yang adil, di mana perkara ini disyaratkan bagi membenarkan manusia berpegang kepada fatwanya. Manakala bagi dirinya sendiri, tidaklah disyaratkan baginya adil bahkan boleh sahaja seorang fasiq yang baligh yang sampai ke darjat ia boleh berijtihad selagi mana hokum yang dijatuhkan untuk dirinya sahaja dan bukan kepada orang lain.

3. Hendaklah ia memahamii alQur'an dari sudut makna-maknanya serta wajah dilalah yang dikemukakan. Seperti lafaz yang khas, yang am dan semua bahagian-bahagiannya yang lain-dan seterusnya.

4. Hendaklah ia memahami asSunnah dari sudut matan dan sanadnya-yang merupakan jalan untuk ia sampai kepada kita sama ada ia mutawatir, masyhur, mahupun ahaad. Begitu juga hendaklah diketahui keadaan perawi yang meriwayatkan hadith-dan seterusnya.

5. Hendaklah ia memahami masyarakat di mana perlu ia mengetahui waqie yang berlaku di dalam masyarakat tersebut sehingga ia tidak berfatwa atau menjatuhkan hokum yang tidak bertepatan dengan waqie yang berlaku dalam masyarakat.

6. Hendaklah ia alim, mahir di dalam bahasa Arab dari segi nahu, sorof, balaghah dan lain-lain.

7. Hendaklah ia "masak" dalam ilmu Usul Feqh kerana ia merupakan tiang dalam ijtihad serta asas merupakan asasnya yang tegak di atasnya.


Usulul Feqh, Prof Dr Fadhil Abd Waheed Abd Rahman, Prof di Kuliah asSyari'ah Wa adDirasat alIslamiah Universiti Yarmouk.


KHATIMAH

Sebenarnya kalau nak diikutkan banyak lagi huraian yang nak dinukilkan. Tapi aku rasa cukuplah setakat ni sahaja kerana tujuan aku hanyalah nak mengambarkan kepada kita semua betapa ketatnya disiplin ilmu dalam Islam yang mana tak boleh kita perolehi hanya tempoh yang singkat. Aku sendiri terkadang-kadang rasa terkilan dengan sesetengah kita yang sempoi aje menjatuhkan satu-satu hokum –tanpa didalami-dan dalam masa yang sama seolah-olah "menemplak" kami yang sedang memperhalusi setiap titisan ilmu yang dituntut. Kalau begitu apa gunanya ilmu di cari?